Alhamdulillah, Allah telah berikan saya peluang untuk menerima dos pertama vaksin pada hari ini. Harapnya seperti yang lain, tiada kesan sampingan yang serius selain pembentukkan antibodi untuk melawan COVID-19.

Tatkala saya mendaftar secara sukarela dahulu, saya juga berfikir banyak kali, hingga ke pagi saya membaca artikel berkenaan vaksin AZ. Saya juga ada perasaan takut – kita semua takut yang tidak pasti, kita manusia biasa.
Tetapi saya tekad ambil juga, sebagai tanggungjawab kerana ramai yang takut pada ketika itu. “It has to start somewhere” saya memujuk diri saya sambil melihat wajah anak istimewa austime saya yang nyenyak tidur di sebelah saya. Menguatkan tekad saya dengan niat untuk melindunginya. Alhamdulillah, walaupun mencabar pada awalnya, berjaya juga mendaftar akhirnya.
Saya doakan supaya semua orang mendapat giliran vaksin mereka secepat mungkin, bagi yang belum mendaftar dibukakan hati mendaftar dan bagi yang sudah dalam giliran, sabar menanti dan pergi menjalankan tanggungjawab bila tiba harinya.
Pengumuman “lockdown” kali ini ramai yang sudah menjangka, tidak kurang ramai yang inginkannya dan sama ramai yang membangkangnya. Tetapi realitinya tidak sama apabila pengumuman dikeluarkan yang bakal berlangsung 1 Jun 2021, Selasa ini. Kehidupan seharian berubah sekali lagi, baru sahaja bermula untuk biasa kembali.
Secara jujurnya, saya sedar keputusan ini tidak dapat dielakkan tetapi saya juga teringat saudara-saudara yang berusaha keras setiap hari untuk menjana pendapatan – peniaga yong tau fu di bazar Ramadan yang saya beli hari-hari bulan puasa tempoh hari, brother takoyaki di depan 7-11 dan ramai lagi. Mereka bersungguh-sungguh menjaga SOP supaya boleh membuka kedai walaupun pulangan tidak seperti dulu, tapi sekurang-kurangnya ada duit masuk ke kocek.
Saya doakan saudara-saudara saya dipermudahkan perjalanan mereka ketika susah ini. Sekira ada peluang, akan saya beli dari anda.
Realitinya, lockdown masih tidak dapat dielakkan.
Dan ramai yang terkesan.
Barisan hadapan kesihatan yang penat lelah tidak berhenti, tidak cukup tidur dan terpaksa menjalankan tugas sukar memberitahu keluarga pesakit keadaan yang tersayang.
Mudah? Tidak. Mereka manusia.
Pelindung pertiwi polis dan angkatan tentera serta barisan hadapan lain, tatkala kita di bawah bumbung redup dari panas matahari atau hujan lebat, mereka terpaksa berdiri memastikan kita di luar hanya sekiranya terpaksa. Sering dijeling kerana dilihat menyusahkan perjalanan kita.
Mudah? Tidak. Mereka manusia.
Orang biasa yang membanting tulang memikirkan bagaimana ingin sediakan makanan di atas meja sambil bergelut dengan wabak di dalam rumah yang sempit. Lebih mencabar bagi yang hilang pekerjaan. Tidak tidur malam memikirkan bagaimana.
Mudah? Tidak. Mereka manusia.
Ibu bapa di kampung yang rindu anak cucu sambil mengira umur yang kian singkat, sambil risau wabak COVID-19 mungkin menyerang mereka atau yang tersayang. Orang tua lain cara fikirannya.
Mudah? Tidak. Mereka manusia.
Semua terkesan, cara berlainan. Berat ringan, hanya yang lalui rasakan.
Yang mudah kini, ramai mengeluarkan kata-kata tanpa fikir panjang apa maksudnya kepada yang menerima.
Itu mudah. Kita manusia.
Kata-kata. Takut memikirkannya. Jangan diremehkan berat kata-kata, sekalipun gurau senda. Nanti perlu menjawabnya.
Waktu ini sangat sukar. Dugaan ini berat.
Mungkin sudah tiba masanya kita ingat semula apa maksud sebenar #kitajagakita
Hanya dengan bersama kita sama-sama boleh berjaya. Tanpa perpaduan kita tidak ke mana.
Secara individu, kita mungkin tidak boleh mengubah semuanya, ramai yang kita tidak boleh selamatkan. Tapi sebagai manusia, sebagai rakyat Malaysia kita boleh ikhtiar (try our best), kita boleh lebih bertanggungjawab (be responsible) dan kita boleh berbuat baik antara satu sama lain (be kind).
Saya bukan yang tercerdik, saya tidak popular, saya bukan keyboard warrior atau netizen berjaya, dan tidak ramai juga yang akan membaca.
Tetapi saya masih percaya pada semangat: #kitajagakita
Saya sayang Malaysia.


